Anugerah Kokurikulum Sofia, Makan di Little Halab BTHO

Cerita semalam, Sofia terpilih untuk menerima Anugerah Kokurikulum di sekolah kebangsaan. Sejujurnya, memang tak menjangka pun kerana anak-anak zaman sekarang semuanya bijak dan aktif dalam pelbagai bidang.

Setiap kali ke sekolah, pesanan ibu dan ayah pun tak banyak. Cukuplah belajar elok-elok, hormat cikgu-cikgu, dan paling penting, jaga diri.

Alhamdulillah, tahun ini Sofia menerima Anugerah Murid Komited bagi Tunas Kadet Remaja Sekolah serta dua lagi pengiktirafan daripada NILAM, iaitu Aktif AINS NILAM dan NILAM 5 Bintang.

Tiga anugerah sekaligus! Sebagai tanda meraikan usaha anak, kenalah belanja makan. Itulah pengerasnya. 😂 Pengeras kali ini dibawah tajaan ibu, ayah pula dapat benefitnya. 😀


Disebabkan ayahnya perlu mengejar masa, kami singgah makan di Little Halab, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO). Kebetulan pula, pelanggan tak ramai ketika itu. Jadi, masa menunggu makanan pun tidaklah terlalu lama.

Antara menu yang kami pesan:

1. Mixed Kebab Set – RM29.90
Dagingnya sedap, nasi pun sedap. Cuma bila makan kebab yang tak bertulang ini, terasa macam kurang puas pula. Maklumlah, ada orang memang suka mengunyah sampai ke tulang. 😂

2. Lamb Fahsa Set L – RM29.90

Sekali pandang, macam roti canai Arab pun ada. Tengah hari makan roti begini, memang lain macam sedikit menu pilihan saya semalam. Alhamdulillah, kenyang juga sampai ke malam!

3. Fattoush – RM14.00
Ini pula percubaan untuk makan bersama Lamb Fahsa tadi. Daripada makan roti dan cicah begitu sahaja, kita tambah sedikit salad. Boleh tahan dan memang boleh layan!

4. Beef Shawra Rice – RM12.90
Set ini pun sedap. Nasi dan dagingnya memang kena dengan selera. Sofia pula tak makan pedas, jadi sambalnya langsung tak terusik. Mujurlah bapaknya ada untuk menyelesaikan tugas menghabiskan sambal tersebut. 😉

Antara sijil yang Sofia terima semalam.

Tahniah, Sofia! Teruskan usaha dan jangan mudah berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai. Bukan soal berapa banyak anugerah yang diperoleh, tetapi usaha, komitmen dan pengalaman sepanjang perjalanan itu yang lebih bermakna.

Semoga terus rajin belajar, aktif mencuba perkara baharu dan menjadi anak yang membanggakan.

Ibu dan ayah sentiasa doakan yang terbaik untuk Sofia. ❤️

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Next Post Previous Post