Bila InBody Membuka Cerita Yang Berbeza

Tiga bulan yang lalu, saya menyertai Weight Loss Challenge yang dianjurkan oleh pihak Wilayah di tempat kerja. Pada waktu itu, fokus utama hanya untuk menurunkan berat badan sehingga mencapai BMI dalam julat normal, di samping melihat sejauh mana perubahan yang boleh dicapai sepanjang tempoh cabaran. 


Sebenarnya, penurunan berat badan itu bukanlah berlaku sepenuhnya sepanjang Weight Loss Challenge. Sebelum cabaran bermula lagi, iaitu sekitar September 2025, berat saya sudah berada di sekitar 68 kg dan beransur turun sehingga 61 kg pada Jun 2026.

Weight Loss Challenge pula hanya bermula pada Jun 2026 dan berakhir semalam. Sepanjang tempoh cabaran tersebut, perubahan berat badan pasang surut yang penyudahnya seperti tiada perubahan. ðŸ˜‚

Jadi, tengah hari semalam saya mengambil kesempatan untuk singgah ke Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya untuk mencuba membuat InBody Analysis. Kononnya mahu buat timbangan terakhir selepas tamat cabaran weight loss. Sekurang-kurangnya bukan sekadar tengok nombor pada penimbang sahaja, tetapi mahu tahu sedikit sebanyak keadaan komposisi badan.

Saya sampai sekitar 12.45 tengah hari. Malangnya, bahagian tersebut ditutup sebentar kerana waktu rehat. Daripada menunggu dalam keadaan perut pula sudah mula berbunyi, saya ambil keputusan untuk mencari makan dahulu. Terus ke Thong Bowl di Alamanda.

Memandangkan datang untuk makan, memang tak mahu terlalu fikir panjang. Saya pesan Signature Slices Beef Noodle bersama air mineral.

Rasanya memang sedap. Kuahnya kena dengan selera, hirisan daging pun menyelerakan. Cuma satu perkara yang agak terkilan, tak sempat ambil gambar makanan. Jadi untuk entri kali ini, terpaksalah menggunakan gambar daripada Thong Bowl sendiri sebagai gambaran hidangan.


Selesai makan, lebih kurang 2.30 petang saya kembali semula ke Bahagian Pemakanan KKM. Kali ini dah boleh terus buat InBody Analysis sendiri.



Dan inilah bahagian yang paling menarik.

Skor InBody: 69/100.
Target Weight : 53.7 kg
Muscle Control : +2.0 kg
Fat Control : -9.2 kg
BMI : 24.4 ❤️

Nampaknya perjalanan weight loss ini belum boleh dianggap sebagai misi yang selesai begitu sahaja.

Berat memang sudah berjaya turun daripada 69 kg kepada 60.9 kg, tetapi keputusan InBody membuatkan saya mula melihat perkara ini dari sudut yang berbeza. Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah jisim otot yang rendah.

Kemungkinan besar, dalam usaha menurunkan hampir 8 kg sebelum ini, bukan lemak sahaja yang berkurang. Sebahagian daripada penurunan berat badan mungkin turut melibatkan otot.

Jadi selepas ini nampaknya kena ubah sedikit haluan.

Acara makan-makan selepas ini kita berkuburkan dulu. 😂

Bukan bermaksud tak boleh makan langsung, tetapi kena lebih berhati-hati dengan pemakanan dan pada masa yang sama mula memberi perhatian kepada latihan kekuatan dan angkat berat.

Kalau sebelum ini objektifnya:

“Nak turun berat.”

Selepas InBody, objektifnya pula perlu berubah kepada:

“Nak kekalkan berat yang sihat sambil bina dan pertahankan otot.”

Mungkin inilah fasa kedua selepas Weight Loss Challenge. Turun berat sudah, sekarang tiba masa untuk bina semula apa yang mungkin hilang sepanjang proses tersebut.

69/100 bukan penamat. Ia cuma satu lagi titik permulaan. 💪

Nota: Keputusan InBody ialah anggaran komposisi badan dan boleh dipengaruhi oleh keadaan hidrasi, waktu makan dan faktor lain ketika pengukuran. Jadi, yang lebih penting selepas ini ialah melihat perubahan dari masa ke masa, bukan satu bacaan sahaja.

4 Comments

  1. sama la ngan akak ha...berat belum mencecah misi yg sebenar..blom bergerak jauh turun lagi..macam naik balik pun ye..untuk bulan August akak nyer level paling atas..untuk September ni entahlah...

    ReplyDelete
  2. oh ada ada servis macam ni di KKM? berat ammi konsisten je sejak naik ke angka 66kg ni. tak turun tak naik tapi dia pusing gramnya. lunch memang makan salad tapi ammi rasa sauce dressing ammi salah. hmmm kita cuba lagi

    ReplyDelete
  3. Bahagian Pemakanan KKM ni sesiapa pun boleh datang buat InBody Analysis sendiri ya sis?
    Teringin jugak nak buat. Kat rumah ni ada smart scale, tapi kalau dapat buat di KKM rasa lebih yakin 😀

    Penurunan berat badan drastik selalu berkait dengan penurunan jisim otot, sebab biasanya kita fokus turun berat tapi lupa buat latihan beban.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya boleh confirmkan di KKM Putrajaya, sesiapa boleh datang buat. Di tempat lain, seeloknya sis confirmkan dahulu dengan pihak Klinik yang ada mesin ni.

      Delete

Post a Comment

Post a Comment

Previous Post Next Post