15 July 2019

Jumpa kamu di sana sayang

Tanggal 11 Julai 2019, dalam perjalanan ke tempat kerja, kami telah kehilangan anak dalam kandungan. Sudah tertulis bukan milik ibu, ayah dan kakak sofia, kami redha. Setelah selesai semuanya, kami pun berangkat pulang ke kampung dan berpantang di sana.

Sampai di kampung dalam jam 12.40 tengah malam, kami kebumikan adik di tanah perkuburan di kampung. Atas nasihat dari imam masjid semuanya selesai sebelum jam 2 pagi.

Selang 2hari, si kakak tetiba menangis. Tanya ayah “mesti adik lemas, ayah letak adik bawah tanah” Allahu.. insyaAllah perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

Di kampung ibu dan kakak berehat sepenuhnya untuk kembalikan semangat dan pulih dari sakit. Di kampung takda makcik pakcik bawang sangat, di bandar terlalu ramai makcik dan pakcik bawang. Kami tak kuat nak hadap. 

10 July 2019

Beza "spotting" atau pendarahan semasa hamil- bila anda patut risau?

Kira-kira 20% wanita mengadu mengalami spotting atau pendarahan ringan semasa 12 minggu pertama kehamilan. Ketahui mengapa pendarahan semasa mengandung terjadi dan apa langkah untuk mencegahnya.

Pendarahan semasa hamil, bila ibu hamil patut risau?
Pendarahan semasa hamil boleh berlaku pada bila-bila masa, dari saat persenyawaan janin hingga ke akhir kehamilan.

Pendarahan ringan, atau spotting, semasa mengandung adalah perkara yang biasa terutamanya pada trimester pertama. Anda tidak perlu bimbang jika mendapati ada sedikit kesan darah yang keluar dari vagina.

Darah yang keluar tidak sepatutnya memenuhi satu pantyliner. 

pendarahan semasa mengandung, pendarahan semasa hamil

Pendarahan yang teruk pula biasanya akan memenuhi pantyliner atau tuala wanita. Biarpun pendarahan semasa hamil itu ringan atau teruk, adalah lebih baik untuk menghubungi dan mendapatkan nasihat doktor. 

Punca pendarahan semasa hamil
Pada awal kehamilan, kebanyakan pendarahan semasa hamil disebabkan oleh telur yang cuba melekat pada lapisan dalam rahim. Ini akan menyebabkan pendarahan ringan atau spotting.

Pendarahan ini selalu disalah anggap sebagai darah haid sebelum wanita sedar dirinya hamil.

Satu lagi punca pendarahan semasa hamil adalah kerana polip serviks (pertumbuhan yang tidak berbahaya pada serviks), yang berkemungkinan berdarah apabila wanita hamil disebabkan paras estrogen yang lebih tinggi.

Ini berlaku apabila ada peningkatan jumlah saluran darah dalam tisu di sekitar serviks semasa hamil. Oleh itu, aktiviti yang bersentuhan dengan bahagian serviks seperti hubungan seks atau ujian faraj dengan pakar wanita boleh menyebabkan pendarahan. 

Salah satu punca mengapa pendarahan semasa mengandung boleh berlaku. 

Walaupun tanpa kehadiran polip serviks, pendarahan juga boleh berlaku selepas:
  • hubungan seks
  • ujian melalui faraj
  • senaman yang fizikal

Walaupun pendarahan semasa hamil tidak semestinya tanda masalah, adalah penting untuk menghubungi doktor jika ia berlaku.

Berita baik ialah sebanyak 50% wanita yang telah mengalami pendarahan akhirnya berjaya melahirkan anak yang sihat.

Bila anda perlu risau jika terjadi pendarahan semasa hamil?
Pendarahan atau spotting semasa trimester kedua dan ketiga. 

Hubungi doktor jika anda mengalami pendarahan teruk yang sama seperti datang haid untuk mengelak sebarang komplikasi kehamilan contohnya kehamilan ektopik.

Pendarahan yang tidak normal pada akhir kehamilan adalah sangat serius kerana ini tanda masalah ibu hamil dan bayi. Jadi hubungi doktor anda dengan segera, dan doktor anda mungkin akan memastikan serviks anda masih tertutup dan memeriksa jika anda ada masalah polip serviks.

Langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan pendarahan semasa hamil
  • Banyaklah berehat untuk mengurangkan pendarahan semasa mengadung.
  • Rehat atas katil atau lebih banyak tidur
  • Rehatkan kaki
  • Pastikan diri sentiasa terhidrasi
  • Hadkan aktiviti fizikal anda
  • Naikkan kaki anda dengan lebih kerap.
  • Elakkan mengangkat barang-barang yang beratnya lebih dari 10 paun

Kebanyakkan wanita yang mengalami spotting masih berjaya melahirkan anak yang sihat.

Walaubagaimanapun, jangan biarkan fakta ini menghalang anda daripada menghubungi doktor anda jika berlakunya pendarahan semasa hamil. Sentiasa peka dengan kesihatan diri anda untuk tidak menjejaskan bayi dalam kandungan.


08 July 2019

Pengalaman Buka Buku Pink/Merah di Klinik Kesihatan

Assalamualaikum dan alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi. Shu diberi peluang merasa nikmat mengandung buat kali ke-dua. Selepas pengalaman pertama, sewaktu mengandung dan melahirkan Sofia pada tahun 2015 yang lalu. Teringin tapi takut.


Pengalaman buka buku pink untuk kali ke-dua. Sehari sebelum raya yang lalu shu ke KK untuk buka buku pink memandangkan 3,4 kali buat UPT semuanya positif. Alhamdulillah.. 

Pagi-pagi sudah berdiri terpacak di depan KK sorang diri selepas hantar Sofia ke taska. Setelah nombor di panggil, bermulalah sesi mini interview. Banyak yang ditanya untuk misi masukkan data ke dalam buku pink tu. 

Apa kegunaan buku pink/ buku merah?

  • Rekod ini diberikan kepada kes baru ibu hamil yang pertama kali datang ke klinik kesihatan / hospital untuk pendaftaran.
  • Rekod ini disimpan oleh ibu dan perlu dibawa setiap kali menghadiri pemeriksaan sama ada di klinik / hospital kerajaan atau pun swasta.
  • Semua pihak yang memberi penjagaan kesihatan ibu hamil hendaklah mendokumentasikan maklumat dalam rekod kesihatan ibu. Maklumat-maklumat ini adalah untuk menilai kemajuan kehamilan ibu.
  • Pastikan penerangan yang mencukupi diberi kepada ibu mengenai kepentingan menyimpan rekod ini dan membawanya ke mana sahaja ia pergi untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
  • Sekiranya rekod ini hilang, satu rekod yang baru hendaklah diberikan kepada ibu dengan segera.

Apa yang akan rekod di dalam buku pink/buku merah?
  • Data pengenalan diri ibu
  • Data pengenalan suami
  • Perihal kandungan lalu
  • Ujian saringan antenatal
  • Riwayat kesihatan ibu dan keluarga
  • Status imunisasi
  • Perihal kandungan semasa
  • Borang kebenaran untuk pengambilan darah bagi saringan antenatal
  • Panduan sistem kod warna penjagaan antenatal
  • Senarai semak pengendalian ibu hamil
  • Carta pemantauan Hb
  • Carta pemantauan tekanan darah
  • Pemantauan tekanan darah dan tanda simptom preeklampsia
  • Senarai semak kriteria pengambilan ujian MGTT
  • Pemantauan kawalan glukos dalam darah (BSP)
  • Keputusan Pemeriksaan Ultrasound
  • Carta tumbesaran janin
  • Carta pergerakan janin
  • Pemeriksaan kandungan semasa
  • Maklumat kemasukan ke hospital
  • Perihal kelahiran
  • Rekod kelahiran bayi
  • Perihal postnatal - Ibu - Bayi
  • Senarai semak Pengendalian Postnatal
  • Senarai semak jaundis neonatal
  • Pemantauan kejadian jaundis neonatal
  • Senarai semak penyusuan susu ibu
  • Jagaan postnatal di klinik
  • Pendidikan Kesihatan
Alhamdulillah, untuk kandungan untuk kali ke-dua ni lain peelnya. Alahan terhadap bahan mentah tiada, cuma badan letih sokmo. Mungkin sebab trimester pertama masih belum terasa sebarang alahan. Masa mengandungkan Sofia dulu selepas 3 bulan baru buka buku pink. Adik beliau terlalu awal, minggu ke-8 dah buka buku.

Sekarang hanya amalkan susu dan acid folic sebagai makanan tambahan buat sementara ni.